Semalam Siti yang pakai cermin mata bulat dan pendakap gigi besi datang jumpa aku. Dia bising-bising sebab aku buat blog baru. Katanya aku langsung tidak setia pada yang satu. Cepat bosan dan tak tahu menghargai apa yang ada di depan mata.
Aku hairan dari mana Siti tahu sebab aku tak beritahu sesiapa pun tentang blog ni kecuali... Kau!Tengok cara kau senyum macam kerang busuk aku dah tahu sangat kau yang beritahu. Aku pun terpaksa tadah telinga mendengar syarahan Siti yang panjang berjela. Walaupun air liur memercik ke muka, aku diamkan sahaja sambil senyum dan angguk.
...
Bila Siti penat dia pun diam. Aku pun terangkan kepada Siti keadaan sebenar selepas menjadi pendengar yang baik untuk tempoh masa lebih kurang lima belas minit aku kira. Tak tergamak nak cakap 'silent' kepada Siti yang sedang meluahkan perasaan dengan penuh semangat dan jitu.
Aku beritahu Siti aku sudah lama merancang untuk mengadakan blog baru. Sebab aku rasa blog yang satu itu nampak rojak bila bercampur baur intipatinya. Sekejap aku tulis tentang kau, sekejap aku tulis tentang Siti, sekejap aku tulis tentang analogi-analogi yang tak boleh diterima Badrul. Aku yang baca pun rasa macam berlaku kecelaruan identiti sendiri.
Jadi aku kira blog yang itu biarlah dijadikan tempat aku berkongsi rasa dan di sini aku jadikan medan untuk melakukan aktiviti yang aku gemari atau nama saintifiknya 'hobi'. Aku sendiri rasa kau dan Siti tahu hobi aku adalah menulis. Dan di sini aku rasa lebih bebas untuk menulis sebab blog yang satu itu aku lebih gemar ikat diri aku dengan satu gaya penulisan dan di situ juga aku lebih gemar berkongsi gambar dan kata-kata yang kononnya puitis. Kan!
Siti sedari tadi angguk-angguk mengiyakan kata-kata aku. Aku beritahu dia lagi bila aku ada blog yang kedua bukan bermaksud aku tidak setia tetapi sebenarnya itu tanda aku menyahut seruan ugama yang membenarkan lelaki beristeri dua.
Pappp! Satu tamparan wanita melekap pada wajah aku. Aku menggosok-gosok pipi yang sudah merah berbekas lima jari. Pedih! Siti minta aku sambung cerita dengan lebih serius dan aku serik nak buat gurauan yang melibatkan poligami ini lagi.
Aku beritahu Siti aku bukan sudah bosan dengan blog yang telah aku isi sejak tahun 2009 itu tetapi aku buat untuk menunjukkan perkembangan yang baik dalam diri. Sebab sekarang aku rasa ada kekuatan dan kemampuan untuk mengisi dua buah blog yang aku ada.
Analoginya lebih kurang begini. Dahulu aku hanya ada kemampuan untuk beli sehelai baju dan baju itulah yang aku pakai ke masjid dan ke pasar. Bila aku sudah punya kemampuan yang lebih maka tidak salah aku kira aku beli sehelai lagi baju. Jadi baju yang lama dapatlah digunakan khusus ke masjid dan baju yang sehelai lagi khusus ke pasar. Jadi sekiranya aku beli baju baru yang aku rasakan perlu, adakah itu bermakna aku sudah bosan dan tidak setia dengan baju yang lama?
Atau sekiranya aku beli pensel baru untuk digunakan sewaktu pensel lama tumpul, adakah itu bermakna aku tidak setia dan bosan dengan pensel lama tersebut? Yang penting atas sebab musabab apa aku nak ada benda itu dan kesedaran aku terhadap kemampuan aku untuk ada benda itu.
Tetapi bukan semua orang fikir benda yang sama. Ada yang hendak memiliki barangan sampai dua tiga walhal dia tiada punya kudrat atau kemampuan pun. Hanya sekadar mahu menunjuk kepada jiran sebelah yang dia punya dua tiga. Jenis-jenis macam inilah yang menyumbang kekayaan 'along' di Tanah Melayu. Mereka tak tahu sebab apa mereka perlu ada atau kebahagiaan bagi mereka adalah dengan melihat orang lain sakit hati dengan apa yang mereka ada. Ini terlalu sakai kan.
...
Dalam masa yang sama, aku tidak marahkan Siti sebab aku tahu dia tidak tahu kisah sebenar. Dan aku juga beri peluang untuk dia berhujah itu dan ini. Lepas itu baru aku beri keterangan selepas Siti nampak sedikit tenang.
Kau perlu dengar dahulu apa orang nak cakap tidak kira kau betul atau salah. Kalau kau cakap dia pun cakap siapa mahu dengar?
Ahmad??
Kau juga perlu ada sebab dan alasan yang logik atas setiap tindakan yang kau ambil agar bila orang persoalkan kau mampu jelaskan situasi yang sebenar.
Memang dalam hidup ini kita tidak dapat puaskan hati semua orang, paling tidak kau jangan aniaya diri kau dengan tindakan-tindakan kau yang dungu dan tumpul.


Posted in:
0 orang cakap:
Post a Comment