Monday, March 18, 2013

1. Otak Pensel


Otak macam pensel, makin diasah makin tajam.


Orang selalu kata otak pandai macam geliga. Ada orang kata juga otak cair (pandai) macam air. Sambil duduk menerawang menunggu kau semalam di perhentian bas, aku dapat idea ini : 'otak macam pensel'.

Lebih kurang analoginya begini : Makin diasah makin tajam. Kalau terlalu tajam nanti akan patah. Kalau patah ia lebih teruk daripada tumpul.

***

Apabila si Ahmad bertanya termangu-mangu : 'kenapa otak macam pensel?' sambil dia membayangkan otak yang berbentuk pensel, maka terserlahlah ketumpulan otaknya. Datang si Badrul pula bertanya konon ingin membuktikan dia lebih bijak daripada si Ahmad dan juga kau : 'kenapa otak macam pensel? Bukan akal ke macam pensel?' Sambil dia senyum sinis dan menyangka otak dia yang paling tajam.

Maka kau pun akan kelihatan dungu bila kau diam sambil garu-garu kepala. Si Ahmad ingat kau sejenis tumpul dengan dia. Si Badrul terus senyum sinis sebab ingat kau memang betul-betul tumpul dan analogi kau hanya layak dibakulkan dalam tong sampah di rumahnya.

Jadi yang ditanya (kau) perlu jawab dengan bijak bagi membuktikan otak kau tajam dan bagus macam pensel. Macam analogi yang kau cuba nak sampaikan. Bukan tumpul seperti Ahmad atau terlebih tajam seperti Badrul.

Setelah kau beritahu Ahmad kata-kata kau itu hanya perumpamaan yang membawa maksud otak kita ini mampu menjadi tajam apabila diasah, kau rasa apa pula yang dia akan tanya? Dan bila kau terangkan kepada Badrul yang selalu dapat nombor satu dalam ujian bulanan bahawa yang kau katakan itu bersifat umum dan yang kau maksudkan itu (minda) adalah perinciannya. Seperti kau beritahu kepada seseorang 'sungai itu mengalir' dan yang kau maksudkan adalah air sungai yang mengalir. Kau rasa apa pula dia akan kata?

Firasat aku merasakan si Ahmad akan tertawakan kau kerana membayangkan otaknya diasah pengasah pensel bulat 20 sen yang dibeli di kedai runcit Ah Keong. Dia ingat kau reka cerita lucu macam rancangan Mr. Bean yang ditontonnya saban hujung minggu.

Si cendiakawan Badrul juga akan mentertawakan kau. Bezanya dia tertawa sebab dia sangka kau mahu betulkan jalan cerita kau selepas mengetahui fakta sebenar adalah 'akal macam pensel' bukannya 'otak macam pensel'.

Apabila mereka lihat kau naik geram, Ahmad pura-pura mahu ke kedai. Katanya mahu membeli pengasah pensel buat mengasah otaknya yang tumpul akibat memikirkan analogi kau yang lucu seperti cerita Mr. Bean. Badrul pula buat-buat mahu ke kelas tambahan petang untuk mengasah mindanya yang telah patah dek memikirkan analogi kau yang telah tersalah konsep dan lari dari manhaj yang sebenar.

***

Samalah juga dalam realiti hidup ini. Kau akan jumpa manusia yang sangat tumpul otaknya dan langsung tidak ada usaha untuk menajamkannya. Apa yang dia tahu adalah menonton rancangan Mr. Bean dari pagi hingga lewat senja. Bila kau cerita kepada dia tentang kehidupan,masyarakat,ekonomi hatta negara sekalipun yang dia tahu hanya mentertawakan kau sebab menyamakan kata-kata kau dengan sitkom yang dilakonkan oleh Rowan Atkinson sebanyak 14 episod itu. Dan kau akan bertambah sakit hati sebab semua benda yang kau cerita nanti dia akan kaitkan dengan encik kacang tersebut. Akhirnya kau letih dan otak kau turut sama tumpul.

Kau juga akan jumpa orang-orang yang terlebih pandai hingga semua kata-kata kau dan pendapat kau langsung tak boleh dipakai untuk dia dan dia sahaja yang betul dalam kampung kau sebab dia sangka dia tahu semua perkara. Cuma dia tak tahu satu benda, iaitu otak dia terlebih tajam dan akhirnya akan patah dan langsung tak boleh pakai untuk memajukan umat manusia. Lebih parah lagi apabila otak dia yang terlebih tajam itu membawa kesesatan dan memandu masyarakat ke arah jalan yang membunuh.

Lalu siapa lagi yang kau mahu harapkan untuk membetulkan masyarakat yang jenis otak tumpul atau terlalu tajam ini? 

- Yang pertama, tentulah diri kau sendiri.
- Yang kedua, aku. Sebab teori asal datangnya dari otak aku. Hasil duduk menerawang petang semalam sambil menunggu kau datang.

Paling tidak kalau kau tidak mahu jadi pensel tajam, kau janganlah jadi yang terlebih tajam. Lebih baik kau jadi yang tumpul sebab paling tidak kau masih ada peluang untuk jadi yang tajam dengan usaha kau yang betul dan iltizam.

Jadi, jom sama-sama tuntut ilmu sebab itu sahaja jalan kau nak dapatkan otak tajam macam pensel!

Hadith :

Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: 'Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang delalu mendengar pengajaran atau orang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.'

(Riwayat al-Bazzar)












0 orang cakap:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | GreenGeeks Review