Tuesday, May 13, 2014

12. Puisi untuk kamu

Sejak beberapa hari aku duduk termangu sendiri, bila aku kenangkan kau akan pergi berjalan jauh ke Kuala Lumpur. Dan dua tiga hari ini seleraku hilang, bacaanku terbang, tidurku hanya kosong tanpa mimpi yang enak-enak.

Pergimu berbulan nanti, maka aku takut benar aku tidak mampu berdiri sendiri. Bagaimana pula mahu aku menyelesaikan semua soalan rumit yang biasanya kau yang ada memerah otak dan buah idea. Sehari dua ini juga aku juga berasa hairan dengan air mata yang acap kalinya tumpah.

Lalu aku titipkan puisi yang berkelana dengan sejuta rasa buat kau yang entah bila akan pulang. Sudah semestinya aku ini akan menjadi sang perindu kawan. Sudah semestinya dua tiga hariku nanti tidak siuman dan barangkali hampir gila. Kau utuskanlah kepadaku doa kudusmu. Dan lekas-lekaslah pulang. 



Sudah tiga hari,
Sudah tiga hari aku menanti di laman,
Abang pengutus surat sudah dua kali
membonceng basikal mengutus surat.
Namun bukan jua untuk aku.

Matahari yang tadi terpacak tegak,
Kini sudah membongkok tiga,
Hampir tenggelam di ufuk sana,
Dan aku masih duduk bertenggung
menanti di peti surat halaman.

Kukuis tanah dan pasir,
Dengan ranting rapuh yang gugur
jatuh setelah mati menjemput,
Dan aku masih membatu di situ,
Menanti di peti surat halaman.

Sudah tiga kali,
Sudah tiga kali aku menjenguk 
ke luar jendela kayu,
Disimbah cahaya bulan
Yang sepertiga hampir penuh,
Menerangi halaman yang sedari semalam 
hanya sendu dengan alunan unggas.

Hampir malap, hampir terpadam
harapan untuk menanti kamu,
Dan putih air mata yang terbit,
Bergelora hingga tumpah akhirnya,
Dan ia tidak lagi surut seperti selalu.

Anak kecil ini,
merengek dalam diam,
Setelah janji yang kamu tanam
Hanya menumbuhkan rindu yang dalam.

Namun suatu petang,
Waktu aku tidak lagi menanti di laman,
Kau datang bersama sekeping layang-layang;
memanggil aku yang sedang rengsa,
Tidur dalam banjir bergelumang.

Dengan senyum besar,
Kau menghulur sapa dan tawa lebar.
Makanya banjir segera surut dan kering,
Dan kita kembali bermain di halaman.

Walau nanti petang kamu akan pulang,
Dan aku tidak tahu waktu bila 
lagi kamu akan kembali datang.
Namun paling tidak,
Untuk kali ini, untuk hari ini,
Biarkan aku leka bermain riang,
Ditemani kamu yang jauh mendatang
dari seberang, hanya kerna sebuah
cinta duhai kawan, 

Hanya kerna sebuah cinta kita
yang tiada berpenghadang.














Tuesday, April 22, 2014

11. Rasa

Lama aku perhati Tuah termenung jauh. Anak-anak lain yang riuh bermain konda-kondi langsung tidak dia hiraukan. Kakinya dihayun perlahan, adakala terseret mencecah tanah lalu meninggalkan bekas berlopak. Matanya sayup-sayup hampir terpadam apabila angin kuat menampar muka. Sesekali aku lihat dia menggosok mata yang dimasuki habuk dan debu yang dibawa angin. Namun lamunannya masih jauh. 
Masih tidak putus.

Aku berjalan perlahan sambil otak ligat berfikir. Dan inilah aku yang selalunya buntu. Tidak punya bakat atau kemahiran untuk menegur dahulu. Inilah aku, seperti selalu. Dungu dan tidak punya mulut yang manis untuk berbual bicara. Tanpa aku sedar, punggung telah pun dilabuhkan di atas kerusi kayu. Tuah memandang aku seketika kemudian dia meneruskan pemanduan lamunannya yang jauh beribu batu. Aku pula terkapai sambil senyum kambing yang seakan segan silu untuk dilemparkan.

"Apa yang kau fikirkan, dan apa yang kau menungkan Tuah?"

Tuah masih diam. Seperti selalu. Seperti kebiasaanya. Dan aku pula yang mati kutu tidak tahu mahu bertanya khabar atau bertanya masalah yang sedang menjadi hantu dalam kepalanya.

"Aku ini tidak pandai untuk memberi kata, tetapi kalau kau mahu bercerita, barangkali aku mampu menjadi pendengar setia..."

Jelas aku sambil membaiki senyuman rabak tadi. Tuah menelan air liur. Kulihat bonggolan pada lehernya turun naik melepaskan sepalit air liur yang pahit. Barangkali dia sedang menyusun perkataan. Atau barangkali dia sedang menelan segala kepahitan yang selama ini dihadapi. Aku diam. Menanti bicara mula dari Tuah.

"Aku ini semakin hari semakin benak. Semakin hari kufikirkan semakin aku sesat tidak menemukan jalan pulang." Tuah diam semula.

" Mengapa hidup ini terlalu banyak perkara yang Tuhan duga hingga adakala aku rasa kalah dan ingin lekas menyerah, dan adakala itu aku rasa mengapa ada sebegini ujian dalam dunia." Sambung Tuah.

Seperti selalu, aku yang menjadi sang dungu. Aku cuba memerah otak memahami baris cerita yang Tuah sampaikan. Aku cuba memahami kunci yang cuba Tuah beri. Masalah berat apakah yang melanda hingga dia rasa begitu rebah? Aku pening lagi. Pusing.

" Aku ingin tanya kau. Adakah rasa suka dan benci, rasa cinta dan sayang,  dan segala rasa itu kau boleh ambil dan letak sesuka hati? Adakah rasa-rasa itu kau boleh buang seperti kau membuang kertas peperiksaan corot agar ibu kau tidak tahu bahawasanya pada ujian lepas kau gagal sekali lagi?"

"Tidak Tuah. Perasaan itu sifatnya mendatang tanpa kau pinta, tanpa kau seru dan panggil. Tidak perlu Tuah, tidak perlu! Dan perasaan itu juga tidak perlu kau halau pergi sekiranya kau tidak mahu, bahkan kau tidak boleh paksa pergi kerana akhirnya nanti kau yang derita."

Jelas aku semula. Kali ini lebih kemas. Barangkali.

" Mengapa dalam dunia ini, ada perkara yang kau suka, perkara yang kau cinta, perkara yang kau kasihi tanpa kau pinta rasa-rasa itu datang, tetapi dalam masa yang sama, kau dihalang, kau tidak boleh untuk melunaskan rasa-rasa itu terhadap perkara yang kau cinta, yang kau suka? Mengapa? Dan ini penyeksaan yang paling derita hingga aku sendiri tewas dan ingin segera menyerah."

Tuah memandang aku. Mengharap jawapan yang menyembuhkan sesak di dadanya. Aku memandang Tuah dalam-dalam. Aku diam, menunggu ceritanya lagi sambil aku cuba menggunakan kunci yang diberi untuk membuka pintu persoalan yang maha sukar ini.

"Pasti kau pusing mendengar pertanyaan aku yang sulit ini. Aku berikan kau perumpamaan agar kau sedikit jelas dan nampak pandu arah pertanyaanku ini. Pernahkah kau mencinta sesuatu dalam keadaan yang sama kau tidak boleh mencintainya? Dan halangan itu tidak boleh kau tentang kerana kau tidak mampu dan ia merupakan perkara diluar kuasamu."

"Jelaskan lagi Tuah apa maksudmu." Tuah diam seketika. Menarik nafas sedalamnya.

"Barangkali misalan aku ini seperti jahil tidak berpedomankan agama, tetapi inilah gambaran paling terdekat yang mampu aku beri kepada kau. Dan semoga kau tidak lekas menghukum aku atas misalan ini, kerana penghujungnya nanti akan berbalik kepada soalan yang aku tanyakan kau sebentar tadi."

Aku hanya mengangguk setuju.

" Bayangkan sekiranya kau mencintai saudara perempuanmu yang sedarah sedaging denganmu, atau lebih tidak waras oleh akal, saudara lelakimu sendiri, dan rasa kecintaan itu seperti kau mencintai gadis lain seperti Siti. Dan kau sesekali tidak mahu mencintai dia, bahkan seperti yang kau dan aku persetujui rasa-rasa seperti ini datang tanpa kau pinta, apatah lagi dengan saudaramu sendiri. Atau kau mencintai burung mahupun seekor kucing dengan sedalam rasa namun sesekali kau tidak mampu mengahwininya. Dan bagaimana kau mahu memaksanya pergi kerana rasa tidak punyai jisim atau zat yang bisa kau tolak dan pukul ke tepi.

Dan ini hanyalah misalan yang aku berikan supaya kau jelas dengan permasalahan yang maha berat ini. Aku sendiri sudah penat malahan tidak mampu hidup dengan rasa-rasa ini yang saban hari tidak mampu aku halau pergi."

Aku tepuk perlahan bahu Tuah. Walaupun aku tidak tahu permasalahan sebenar, namun aku faham. Aku merasai derita yang meragut hari-harinya. Umpama kau mencintai bulan namun sesekali kau tidak pernah akan menggapai. Ia umpama sesuatu yang kau lihat dalam cerminan namun akhirnya kau hanya mampu sentuh luaran. Sedaya mana kau cuba gapai akhirnya yang kau capai hanyalah siksa dan kesakitan yang bernanah dalam lubuk hati kau.

Kasihan. Aku masih menepuk bahu Tuah. Menggosok lembut belakang tubuhnya sambil aku dan dia sama-sama memandu menung yang panjang tanpa destinasi yang pasti hendak dituju.  

Tuesday, January 21, 2014

10. kita-kita

Lepas penat bermain konda kondi, semua bertempiaran lari bila imam Haji Sulaiman datang membawa rotan buluhnya menghalau anak-anak kampung yang bermain di dataran masjid. Aku sempat menggapai selipar jepun yang baru aku beli kelmarin di kedai Pak Deli.

"Lari woi lari! Tok imam datang! Lari woi lari!"

Tuah menjerit bila dia nampak imam Haji Sulaiman datang dengan serban putih melilit kepala. Dia berjalan laju seperti dalam perlumbaan marathon, bezanya dia memegang sebatang rotan buluh. Halus meruncing dan panjang sekali! Kalau singgah pada punggung, kesan birat akan terpalit sehari dua. Pedihnya, Tuhan saja yang tahu.

Setelah hampir lima ratus meter berlari, tiba-tiba kau berhenti. Anak-anak lain masih lintang pukang macam dikejar anjing. Aku pun lantas berhenti memandang hairan. Kau hanya senyum basi-basi dengan nafas tercungap-cungap.

"Sudahlah tu. Dia pun tak larat nak kejar kita. Mari kita lepak tempat biasa. Awal lagi ni."

Aku hanya mengiyakan kata-kata kau. Aku membontoti kau dari belakang. Badan, dahi, tangan semuanya dibasahi peluh muda. Bila matahari membias cahaya, mata aku spontan mengecil dek silau yang menyuluh. 

"Sudah lama kita tak duduk di sini. Semenjak konda kondi menjadi hantu di kampung kita. Budak-budak pun dah tak main bola. Bosan."

Kau mengeluh sambil mengesat peluh yang berbaki di dahi. Aku ketawa kecil. Konda kondi pun boleh jadi masalah. Di kampung, permainan akan datang bermusim. Tiba musim gasing, maka gasing mula berhantu. Semua orang punyai gasing. Bukan sekadar yang muda, yang tua pun apa kurangnya.

Petang itu hanya ada kau dan aku di atas bukit di hujung kampung. Tempat kita selalu duduk-duduk bila otak serabut dengan masalah yang beragam jenis. Tempat kita selalu bertandang bila petang datang berkunjung. Tempat kita selalu berbincang bila ada perkara yang hendak dirunding dan dirancang. Dan setiap perancangan itu selalu ada kau menjadi ketua dan kepala. Aku pun tak tahu mengapa. Barangkali kau yang paling matang dalam kalangan kami. Atau barangkali kau paling diam tetapi bila kau berkata, semuanya bagai buah permata yang sangat bernilai dan berharga.

Aku diam menanti kau berbicara. Seperti biasa, aku pasti kau ada fikiran yang hendak kau kongsikan.  Kalau tidak masakan petang-petang yang hampir menjemput senja kau ajak aku ke mari. Selalunya langkah kita akan disudahi ke rumah setelah usai bermain. Lalu kau bertandang ke rumah aku untuk kita berjalan kaki bersama ke masjid menunai maghrib di sana. Ah, bukan maghrib pun yang kita kejar melainkan jamuan selepas solat dan keujaan ingin bertemu rakan. Aku maklum benar itu.

Kau baring mengadap langit yang sudah disimbah rona jingga. Aku masih duduk menopang dadu. Mata aku lalai melihat liuk lentok pokok-pokok hijau yang disapa bayu petang. Ia hampir pejam. Hampir. 

"Andai kau diberi ruang untuk kembali ke masa lalu, atau andai kau diberi peluang untuk lahir semula, apa yang kau ingin jadi?"

Kau menebak aku dengan soalan yang begitu keanakan. Tidak. Soalan itu jika daripada kau, ia menjadi begitu dewasa sekali. Penuh perincian. Aku ketahui sungguh-sungguh diri kau. Kau tidak akan bertanya soalan seandainya ia begitu bodoh dan lurus. Kau tidak meminta jawapan seandainya ia naif dan menghambarkan. Sesekali tidak.

"Hmm, kau bagaimana?"

Aku pulangkan soalan kepada kau kerana aku tahu jawapan itu ada dalam benak hati kau. Dan jawapan kau itu akan menjadi sari inti jawapan aku nanti. Aku memandang kau lagi, menanti jawapan emas kau seperti selalu.

"Kalau aku? Kalau aku diberi ruang kembali ke zaman kecilku, atau seandainya aku punya pilihan untuk kembali dilahirkan, aku ingin sekali punya kita-kita sebagai keluarga. Punya Ahmad, punya Dhani dan Tuah. Juga punya kau.

Aku mahu kita habiskan waktu-waktu yang ada bersama, kita bermain keliling kampung tidak ada had batas masa. Kalau kita berkelahi, kita akan lekas-lekas kembali baik. Kalau kita tidur malam dingin, aku ada tubuh yang bisa aku peluk berkongsi hangat. Kita punya pelbagai kisah untuk dikongsi cerita dari awal pagi hingga hujung malam nanti. Kalau ada yang datang cari fasak di sekolah, tentu sahaja ada kita-kita untuk mengepal penumbuk berdiri di sisi kanan dan kiri. Tidak kah bagus semua itu?" 

Kau bercerita dengan nada fantasi yang tinggi. Tidak ada kebaikan yang lebih menguntungkan bagi aku melainkan dapat meniru kau nanti bila kerja sekolah bertimbun diberi guru. Aku pecah tawa. Kau memandang lalu turut ketawa. Mimpi kau begitu asyik walaupun malam belum lagi datang menjelma.

" Mengapa kau begitu jauh berfikir hingga ke situ? Apa kau tidak bahagia dengan apa yang kau punya? Apa kau tidak suka punya abang yang pintar dan kakak menawan rupa? Apa yang ada pada kami-kami ini yang kau gilakan hingga kau mahu dilahirkan dengannya?"

Aku bidas mimpi kau dengan soalan-soalan agar kau kembali bangkit dan sedar bahawa mimpi kau itu tidak berlandaskan nyata. Kau senyum lagi. Seperti biasa.

" Bukan begitu maksudku. Ya, aku lapang dada dengan apa yang aku ada. Malah apa yang ada sudah lebih sempurna jika hendak difikirkan secara nyata. Sebab itu aku soalkan 'jika' dan 'kalau' kau diberikan pilihan. Dan aku yakin benar pilihan itu pasti dan pasti sekali tidak akan menjelma. Kita hanya mampu mimpi kalau itu dan kalau ini, namun realitinya nanti ia masih kekal menjadi sebuah mimpi.

Kita ini, aku, kau dan lainnya begitu kuat bermimpi sehingga kita lalai apa yang didepan mata. Kita begitu mengimpikan yang lain saat Tuhan kurniakan kau yang sempurna secara nyata."

Seketul batu kecil kau baling jauh-jauh. Bersama mimpi-mimpi kau. Aku diam. Seperti selalu. Aku tidak pasti apa yang kau mahu maksudkan, atau kepada siapa yang kau tujukan. Yang pasti aku terpukul. Aku dipukul bertalu-talu.

"Jadi apa mahumu?"

Kau mematuk aku sekali lagi dengan soalan serupa. 

"Tadi kau kata mahu kita-kita, jadi terpaksalah aku tanpa rela menjadi anggota keluargamu. Yang pasti aku mahu menjadi kakakmu. Bolehlah kau bermanja dengan aku nanti."

Spontan aku memberi jawab balas. Ketawa kita pecah menenggelamkan siulan anak burung yang memanggil ibunya kembali pulang. Warna jingga telah bercampur kebiruan langit tanda mentari juga telah jauh berlabuh.

Sambil berjalan pulang aku bertanya pada kau mengapa kau mahukan kita-kita yang tidak punya apa-apa ini? Maka jawapan kau selalu mudah-mudah dan membuat soalan aku jadi begitu polos.

" Kerana kita yang tidak punya apa-apa ini, selalu buat hari aku jadi sempurna."

Aku kalah lagi. Aku hanya garu-garu kepala. 

" Sedari tadi kau beribu kali menyebut tentang kakak aku, apa kau jatuh hati pada dia ya! Jom kita lumba siapa sampai ke rumah dahulu!"

Lalu kau memecut laju meninggalkan aku tersipu malu.

" Hoi tunggu aku!"

Monday, September 30, 2013

9. Rahsia

Sudah seminggu si Ramadhani duduk diam membisu. Diajak makan tidak mahu, diajak bermain tidak mahu, diajak berbual pun dia basi-basi sahaja. Tuah yang duduk bersebelahan dengan dia di kelas juga jadi mati kutu.

Bila ditanya, dia hanya mengangguk atau menggeleng. Sepatah yang ditanya, separuh patah yang dijawab. Aku hanya pandang dia dari jauh. Hendak aku tanya mengapa, aku kira hanya sekali dua aku bertegur sapa dengan dia. Aku pemalu, dia penyegan. Memang sepadan.

"Dhani kamu dengar apa yang saya terangkan?"

Semua pasangan mata terus menerpa tubuh Ramadhani. Dia masih membatu. Entah ke mana fikiran dia terbang, entah ke mana rohnya melayang.

"Dhani!"

Ah, itu dia cikgu Siti Aminah sudah mengaum. Satu kelas tersingahak. Termasuk Ramadhani. Dia terpinga-pinga sambil matanya terbeliak. Bulat sebijik seperti guli. 

Seperti biasa, tempat murid yang berangan dan tidak fokus di dalam bilik darjah adalah di luar kelas. Lebih senang mahu dapat mood berangan. Tiada sesiapa yang mahu marah.

"Jumpa saya rehat nanti.."

Cikgu Siti Aminah sempat mengerling sebelum meninggalkan Ramadhani yang tercegat di luar kelas sejak tadi. Dia hanya mengangguk akur. Kemudian dia berjalan malas masuk ke kelas. Seperti sedia kala, kelas kembali riuh selepas harimau meninggalkan rimba. Dan Ramadhani masih memandang ke luar tingkap. Aku pula masih memandang dia seperti hari-hari sudah. 

Lama kelamaan aku jadi gila apabila melihat keadaan dia yang seperti orang putus cinta. Aku yang jadi gila dan bukannya dia!

Aku menarik nafas dalam-dalam dan melangkah penuh yakin walaupun dalam kantung otak serabut menyusun kata dan jantung sesak mengepam darah. 

"Dhani, kau puasa ke?"

Aku membuka kata sambil mengambil tempat di sebelah dia. Dia memandang aku penuh kehairanan. Pertama, sebab aku jarang menegur dia. Kedua, barangkali sebab soalan aku yang berkemungkinan nampak bingai. 

Sengaja aku tanya soalan yang epik sebab soalan 'kau apa khabar', 'kau dah makan ke belum' atau 'kau buat apa' nampak tipikal melayu. Dah tentu dia sehat segar bugar. Kalau tidak masakan dia datang ke sekolah. Soalan 'sudah makan atau belum' langsung tak nampak genius sebab waktu rehat belum tiba lagi. Dan soalan 'kau buat apa' sudah pasti akan menaikkan darah dia. Sudah terang-terang dia duduk bermuram berduka lara. Jadi sebenarnya soalan aku begitu bijak dan boleh dikira sebagai berfikir di luar kotak. Kritis!

"Tidak.." Jawabnya ringkas.

"kau ada masalah?" Aku memancing minatnya untuk bercerita.

Dia hanya melepaskan nafas berat. Seberat masalah yang dikendongnya. Aku hanya menanti penuh tekun. Sesekali aku mengelipkan mata. Dia masih diam. Seminit berlalu buat aku naik jemu. Kemudian aku mengeluarkan pemadam dan pembaris.

"Kau tahu Dhani, pemadam diperbuat daripada getah. Pembaris besi ini diperbuat daripada logam. Kotak pensel ini diperbuat daripada kain.

Tetapi rahsia diperbuat daripada kata-kata dan sesuatu yang sulit. Ia disimpan ditempat yang rapuh dan mudah reput iaitu hati. Ia sama seperti sebuah rumah kayu yang lama kelamaan akan reput dimakan anai-anai. Dan Hati kau lama kelamaan akan reput dimamah rahsia. Suatu masa nanti ia akan retak dan rahsia akan pecah berderai."

"Jadi apa maksud kau?"

Ramadhani berkerut dahi penuh tanda tanya. Dia masih tidak dapat menangkap perumpaan dalam yang aku lontarkan. Aku sendiri sebenarnya tidak mempunyai idea yang lebih cerah untuk aku gunakan kerana perut begitu berkeroncong dan otak kering dengan idea kritis. Maka pemadam, pembaris dan kotak pensil menjadi sasaran.

"Maksud aku kalau kau ada rahsia yang tak dapat kau bendung sendiri, kau boleh mempercayai aku untuk jadi tempat kau mengadu. Kau tahu bukan rahsia itu lambat laun akan muntah seperti cairan panas gunung berapi yang akan memusnahkan segala-galanya yang ada. Termasuk diri kau sendiri."

Ramadhani hanya memandang aku seperti tadi. Daripada renung matanya aku dapat agak yang dia sedang berfikir dan mempertimbangkan untuk memberitahu aku.

"Sebenarnya mama aku mahu aku bersunat masa cuti sekolah hadapan. Aku kata aku tidak mahu. Kau tahu sahaja lah atok Karim punya pisau. Tak mahu aku!"

Jelas Ramadhani sambil berbisik separuh suara. Sesekali dia memandang sekeliling takut rahsianya yang maha besar itu pecah. Aku ketawa kecil digeletek kisah dia lalu mencuka masam. Barangkali bengang aku mentertawakan rahsia agungnya itu.

"Kau langsung tak membantu aku!" Nadanya tegas.

"Sorry Dhani. Aku tak sengaja. Begini kau bilang saja sama mama kau untuk bersunat di klinik Rakyat. Harganya pun tidak seberapa mahal jika hendak dibandingkan dengan harga atok karim tu."

Aku memberi buah idea. Dia mendengus lagi sambil jemarinya menari rancak di hujung meja tulis.Tiba-tiba cikgu Siti Aminah masuk menyergah. Pantas murid-murid lain terpaku diam.

"Dhani, ibu kamu telefon tadi. Dia minta kamu ke rumah atok Karim mendaftar nama untuk berkhatan cuti nanti. Jangan lupa tu!"
  


Wednesday, July 24, 2013

8. Cermin sisi

Dalam ujian untuk mendapatkan lesen memandu, tiba-tiba kau di arah berhenti di tepi jalan. Pegawai JPJ yang bertugas dengan diam kata terus merampas stereng kereta dan memandu. Kau yang duduk di sebelah terkejut namun membatu kerana tidak tahu apa yang berlaku.

Sampai tempat dituju, pegawai hanya memberitahu kau gagal lalu beredar keluar tanpa seurat senyuman pun menghiasi bibirnya. Kau bagai ternampak polong. Mata membulat dan nafas kau tersekat-sekat.

Dalam hati kau terbakar dan rentung. Kau gagal tanpa diberitahu kesalahan dan kekurangan. Jiwa kau memberontak bagai ombak memecah pantai. Sakit ! Pedihnya lebih daripada tersepit jari kelingking di celah pintu. Berdarah. Tetapi hanya di dalam.

Pada sudut kesal itu, terselit putus-asa, kecewa dan tawar hati yang menggunung tinggi. Hingga mencecah langit. Lalu hilang disembunyi awan duka yang tebal mengabus hati. Semua yang lihat kau tak tahu apa rahsia yang kau sembunyi hinggalah saat rintik hujan berubah menjadi empangan air yang hampir membanjiri kampung, barulah ada yang prihatin mahu bertanya. Tetapi itu pun sekadar mahu ambil tahu sebab nak menambah koleksi cerita melodi.

Oleh sebab aku juga prihatin maka aku datang dekat pada kau untuk berikan kau sedikit kelegaan. Aku malas mahu bertanya sebab aku tahu kau ada sebab tersendiri untuk meneran hujan turun. Lalu tanpa disuruh kau bercerita panjang. Aku hanya menjadi telinga yang menangkap gelombang bunyi dan diproses menjadi kepingan maklumat untuk aku hadam dan faham.

Sambil kau bercerita, kau asyik bertanya 'mengapa', 'apa', 'siapa', 'bagaimana' ........ Sejujurnya aku tiada jawapan yang tepat untuk soalan kau yang sungguh subjektif itu. Maka jawapan yang aku mampu berikan adalah seperti berikut :

Bila kau tanya apa sebab JPJ tu gagalkan kau tanpa nyatakan kepada kau sebab musabab, jawapan aku : Kau tidak akan gagal tanpa sebab. Sudah tentu ada kesilapan atau kekurangan yang ada pada kau hingga menyebabkan kau gagal. Pegawai itu bukan bertugas sebagai tukang masak. Dia pegawai JPJ. Sudah tentu dia arif tentang ini. Melainkan dia sengaja gagalkan kau atas alasan-alasan bodoh dan mengikut cita rasanya yang membajet high-taste tu !

Jadi kesilapan dan kekurangan itu kau perlu kesan sendiri. Muhasabahlah sepanjang perjalanan kau dengan dia. Barangkali kau terlupa pandang cermin sisi untuk kenal siapa diri kau sebenarnya. Aku yakin kau pasti ketemu kesilapan dan kekurangan kau. Namun seandainya dia yang sengaja, maka kau tidak harus bersedih sebab kau layak untuk dapat lesen daripada pegawai yang lebih baik daripada dia. Biarkan dia menanggung penyesalan sepanjang hidup. Biarkan. Apa yang penting kau dapat dengan cara yang terhormat. Atas jalan yang bermaruah.

Dan kau perlu sedar, ia juga takdir Tuhan. Semuanya sudah tertulis. Barangkali belum rezeki kau untuk memegang lesen. Barangkali kau belum bersedia untuk itu. Percayalah. Hikmah-hikmah itu akan kau temui satu hari nanti.

Jadi aku katakan kepada kau. Jangan bersedih. Kau terus fokus dan optimis untuk ujian yang akan datang. Jangan lekas mengalah. Kita masih ada perjalanan yang panjang untuk diteruskan. Bukan untuk sampai hari esok sahaja. Biarkan pegawai itu dengan perangainya. Satu masa nanti dia tahu dia telah melakukan kesilapan yang besar seandainya memang itu kesilapan dia.


***

Begitulah juga umpamanya hidup ini. Adakala kau dibuang, ditolak atau dipijak tanpa kau tahu sebab. Kau jangan banyak persoalkan tentang orang lain kerana semua jawapan daripada mereka tidak mendatangkan banyak kesan kepada kau. Apa yang penting adalah diri kau ! Kau perlu tanya apa silap kau. Apa kurangnya kau. Bila kau tahu semua itu maka kau perlu cari solusi. Bangkit ! Jangan biarkan kau pada nasib yang serupa. Buktikan apa yang mereka rasa, atau apa yang dia sangka, 150% tidak benar tentang kau. 

Minggu depan kau ada ujian sekali lagi. Aku doakan pegawai yang lebih baik untuk kau. Kau pula jangan lupa pandang cermin sisi !

Friday, July 5, 2013

7. Maju


Majunya bapak kau! Rahim datang dari belakang lalu menampar lembut bahu si Tuah.

Tuah hanya kerut dahi tanda tidak memahami topik. Kemudian dia mengangkat kening sebagai isyarat pertanyaan. Dalam hatinya bersoal jawab 'Sudah kenapa pula bapak aku?'

Suasana putus suara seketika.

"Kau tak tahu ke bapak kau mahu kahwin satu lagi. Dengan janda arwah haji Sulaiman tu!"

Kemudian satu kelas ketawa berdekah. Tuah masam muka. Merah. Menahan malu. Dia rasa seperti dibogelkan di hadapan kelas. Oh tidak! Seperti dibogelkan di hadapan dataran perhimpunan! Itu yang dia rasakan.

Aku hanya duduk jauh-jauh. Malas mahu kotorkan lidah menambah noda.

"Itu kau kata maju Him? Langsung tidak. Apa kau tidak buka kamus?" Tiba-tiba Badrul murid nombor dua dalam ujian bulan lepas bersuara.

Masing-masing terus diam membata. Siti dan Rahmah hanya picit dahi. Pening melihat gelagat rakan sekelas yang tak cukup bulan dan tahun.

"Habis apa yang kau tahu tentang maju?" Rahim membalas sambil jemarinya rancak mengetuk meja.

Badrul lalu memandang aku yang sedari tadi hanya mencuri dengar. Malas mahu ambil pusing. Cepat-cepat aku mengalih pandang.

"Apa pula falsafah kau kali ini? Pensel tekan atau pemadam getah?" Badrul menyoalku dengan penuh nada sindiran. Dihujung kata ada senyum nipis penuh rasa hitam yang lumat.

Aku hanya menjeling. Yang lain hanya memandang. Memerhati siapa yang mahu turun ke gelanggang.

"Kalau aku.. Cukup saja lah kita lihat kampung kita ni. Maju apa? Sudah ada pejabat pos. Sudah ada gelanggang badminton. Itu ini ada. Sudah kira maju la ni" Siti melontar pendapat. Yang lain angguk-angguk tanda setuju. Ada yang berbisik membuah idea dibelakang. Tidak mahu berbicara di hadapan takut dibangkang.

"Ya, sudah ada televisyen! Ada kartun setiap hari!" Sahut Ahmad dari belakang kelas sambil tersengih menayangkan giginya yang kekuningan.

Aku lihat kau buat kali ketiga. Masih menanti jawab balas. Aku mengharapkan jawapan kau mampu menggegar otak rakan sekelas. Bukan jawapan yang menggeletek seperti Ahmad.

"Maju itu seperti aku. Bijak berfikir. Kreatif dan kritis! Mengerti kalian?" Akhirnya Badrul bersuara kembali. Memuji dan mengangkat bakulnya sendiri apabila pujian yang dinanti tidak berkunjung tiba.

Aku jadi meluat. Hendak kujawab terasa begitu berat mulut. Tidak terisi emas mahupun intan. Namun aku sendiri tidak tahu mengapa kali ini aku begitu berat mulut mahu membidas. Barangkali menanti kau. Kau yang selayaknya.

"Maju ertinya mara. Bergerak ke hadapan. Sama ertinya membangun, makmur dan yang seumpamanya. Itu jika kau mahu erti isi kamus"

Tiba-tiba kau memecah sunyi. Dan yang lain pantas memandang mendapatkan suara yang memberi jalan keluar.

"Aku masih kurang faham." Soal Tuah menggaru dahinya yang tidak gatal.

"Ya, apa yang kalian katakan juga ada benarnya. Cuma ia umpama sepohon pokok yang punya banyak rantingnya. Dan kalian terus kepada ranting tanpa melalui batang utamanya." Kau terus menerangkan sambil yang lain mendengar tanpa berkelip mata.

"Teknologi itu kemajuan. Kereta, televisyen, pemikiran, pejabat pos dan lain-lainnya, semua itu boleh dikira kemajuan dengan satu syarat."

Kau diam seketika sambil memerhati setiap muka yang memandang dan menghadiri perbincangan.

"Kemajuan mestilah perkara yang membawa atau menghasilkan kebaikan. Tidak guna ada otak yang kritis dan kreatif seandainya ia tidak menyumbang satu sen pun kebaikan" Disebalik penjelasan kau terselit pisau yang menoreh hati seseorang.

"Apa bedanya kata-kataku? Apa kau ingin memerli aku?" Badrul meninggi suara.

"Bezanya? Kata- kata kau membawa kemunduran. Perli? Kau kan bijak dan kritis untuk menilai yang benar dan yang dusta." Kau beredar sambil senyum sinis.. Badrul mengepal genggamnya tanda berang.

Loceng rehat berbunyi. Kau keluar dengan segak sekali. Bagaikan Superman!

Tuesday, June 25, 2013

6. Sejarah

Petang tadi bila kau tanya aku kenapa aku suka sangat pada Siti. Aku jadi bingung bercampur kelu. Terkebil-kebil aku menghirup teh panas yang ibu kau hidangkan. Tidak semena jantung aku bergoncang dan nafas aku jadi tidak sekata.

Aku cukup kagum dengan kau. Sedari dulu kau pandai menebak apa yang aku fikir. Kau tahu membida apa yang aku rasa. Ilmu ghaib apa yang kau guna aku pun tidak pasti. Yang pasti kau serba tahu tentang aku. Walaupun aku banyak diamkan tetapi kau kata wajah manusia tidak mampu menutup segala rasa.

Ya, aku begitu suka dengan Siti. Sejak tiga tahun lalu. Sejak dia berpindah ke kampung kita ini. Dia muda setahun dari kita. Tetapi itu bukan sebab mengapa aku suka dia.

'Aku menyukai Siti kerana dia tulen.' Jelasku tanpa berselindung. Lalu kau ketawa terbahak-bahak hingga menyebabkan kau tersedak.

'Zainab pun tulen juga. Rahmah, Tevaki, Mei Ling. Semuanya perempuan tulen. Cuma yang aku ragu Saedah!'

Gelak aku dan kau sama-sama pecah.

'Saedah Saedah...' bisikku perlahan sambil senyum nipis.

Aku kembalikan suasana serius.

'Siti. Dia tidak seperti yang lain. Dia....' Aku terhenti kata. Kau masih memandang aku tepat. Menanti sambungan kata'dia' dariku.

Seketika cengkerik berlagu nyaring apabila aku masih diam. Dan kau ketawa lagi dan lagi apabila aku bingung sendirian tanpa kata.

'Sebenarnya dia apa?' Kau tanya lagi sambil menghirup titisan teh yang terakhir.

'Dia telah menjadi sejarah indah dalam hidupku.Cukuplah berakhir di situ.' Aku putuskan untuk mengakhiri kisah. Aku senyum dan kau juga tersenyum.

Barangkali kau faham senyuman susu basiku ini. Aku cukup pasti yang kau cukup memahami. Petang itu aku rasa seperti memuntahkan duri yang selama ini menyucuk seluruh hati dan sanubari. Rasanya sungguh lega! Dan kau diam bagaikan doktor yang memahami sakit peritku. Ajaib!

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | GreenGeeks Review